Thursday 20 October 2011

Pembentukan Kontrak Sosial ke Arah Pembentukan Perlembagaan Malaysia

Kontrak Sosial merupakan satu perjanjian di antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu di Malaysia. Kontrak Sosial ini diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Ia telah dipersetujui oleh wakil-wakil kaum semasa pembentukan negara Malaysia dahulu dan kini merupakan sebahagian daripada perlembagaan Malaysia.

Sejarah perjanjian ini bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874. Perjanjian ini memperkenalkan sebuah sistem yang mengurangkan kuasa raja dan keistimewaan orang Melayu iaitu Sistem Residen. Peranan seorang residen pada awalnya merupakan penasihat raja sahaja tetapi akhirnya mencampur tangan dalam urusan raja. Dengan adanya sistem residen, ekonomi yang dahulunya dimonopoli oleh raja dan pembesar melayu telah terjejas. Kemasukan orang asing ke dalam Tanah Melayu telah mengeksploitasikan hasil bumi. Dasar pecah dan perintah, diskriminasi kaum serta penempatan kaum mengikut kawasan dengan menempatkan orang Melayu di luar bandar, orang Cina di bandar dan orang-orang India di ladang-ladang getah berjaya memundurkan pencapaian orang Melayu dan membentuk tembok curiga di antara kaum.

Selepas itu, beberapa lagi sistem bagi mengkukuhkan lagi kuasa British di Tanah Melayu telah diperkenalkan dan digunakan. Di antaranya ialah penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan 1896 iaitu menggabungkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Kononya perjanjian ini bertujuan untuk mengembalikan kuasa sultan. Kuasa pentadbiran bagi keempat-empat negeri tersebut berada dalam kuasa Residen-Jeneral. Selain itu, penubuhan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat juga telah banyak memberi banyak kesan negatif kepada pribumi dan raja serta pembesar Melayu.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah mengeruhkan keadaan dengan menambahkan lagi perasaan prasangka dan politik perkauman di antara kaum dengan melayan kaum Cina dengan teruk tetapi melayan baik kaum India dan kaum Melayu. Dasar penjepunan juga telah diperkenalkan dan ini mengetepikan bahasa ibunda masyarakat Melayu. Kuasa sultan dan pembesar juga tidak dikembalikan seperti yang dijanjikan sebelum Jepun mengalahkan pihak British.

Selepas Jepun menyerah diri dan mengembalikan Tanah Melayu kepada pihak British, bermulalah rancangan pembentukan Malayan Union. Dalam pembentukan itu, sebuah perlembagaan telah cuba diperkenalkan. Perlembagaan ini telah mengurangkan kuasa perundangan di peringkat negeri, menghapuskan hak-hak raja dan hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk pribumi Tanah Melayu serta peruntukan kuasa eksekutif dan perundangan kepada seorang Gabenor. Rancangan ini telah menerima pelbagai tentangan dari kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Selepas rancangan ini gagal, sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuhkan pada 1946 untuk membentuk sebuah persekutuan dengan suatu perlembagaan yang boleh diterima pakai oleh semua golongan masyarakat. Hasil dari kajian dan perbincangan, satu perjanjian telah dimeterai iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British. Tetapi atas desakan, akhirnya British telah membenarkan satu pilihanraya diadakan pada 27 Julai 1955. Parti Perikatan telah memenangi pilihanraya tersebut dan telah membuat satu rombongan ke London untuk memperolehi kemerdekaan. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dan telah mengalami beberapa perubahan contohnya kemasukan Sabah dan Sarawak serta penukaran nama Persekutuan kepada Malaysia pada tahun 1963.


Kandungan Kontrak Sosial

Perlembagaan Malaysia merupakan satu bentuk peringatan undang-undang
ntuk semua demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan semua. Selain itu, ia juga merupakan satu dokumen undang-undang asas yang menerangkan dan memperuntukkan kuasa-kuasa yang dimiliki anggota-anggota negara ini. Perlembagaan juga merupakan undang-undang tertinggi negara dan panduan pemerintahan negara. Ia merupakan dokumen berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid. Tujuannya adalah untuk mengendalikan pentadbiran kerajaan yang memerintah dengan licin dan adil. Di antara Kontrak Sosial yang disebut dalam perlembagaan adalah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedaulatan Raja-Raja dan Sultan Melayu serta taraf kerakyatan melalalui Prinsip ‘Jus Soli’. Setiap warganegara Malaysia harus menyedari bahawa perlembagaan kita adalah hasil daripada sikap bertolak ansur setiap kaum. Ia adalah satu persetujuan yang luhur dan murni, hasil pertimbangan yang rumit terhadap berbagai-bagai kepentingan yang bertentangan.

Perlembagaan Persekutuan 1957 Perkara 152 menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini bertujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dengan diwajibkan di semua jenis pusat pendidikan. Ini merupakan salah satu langkah untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan untuk memajukan Bahasa Melayu serta menggalakkan penggunaannya. Minggu Bahasa Melayu dan Bulan Bahasa Melayu dilancarkan dalam tahun 1960, melalui cogankata “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menetapkan bahawa Bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh menggunakan bahasa Inggeris di dalam Dewan dengan kebenaranYang Di Pertua Dewan. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris selepas 10 tahun merdeka. Sebagai  mercu kejayaan dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 1970. Kesemua sekolah di Malaysia menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan merupakan satu subjek wajib bermula dari tahun 1982.

Dalam Perkara 3 (1) pula, Agama Islam merupakan agama persekutuan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud negara ini mengamalkan system teokrasi. Rakyat Malaysia yang lain masih bebas menganut agama yang lain dan juga merayakan perayaan masing-masing. Mereka juga bebas untuk mengamalkan adat dan tradisi agama masing-masing. Banyak peruntukkan telah dibelanjakan untuk membangunkan agama Islam selepas merdeka.

Prinsip kerakyatan secara ‘Jus Soli’ telah diperkenalkan semasa rancangan Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu kaum Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu merupakan warganegaranya. Tetapi dengan adanya Perlembagaan, kerakyatan Jus Soli telah diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di PTM (Persekutuan Tanah Melayu) tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibubapanya adalah warganegara PTM. Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya. Selain itu, bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Selain itu, kedudukan raja sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam diiktiraf.
Prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja’ telah dimasukkan ke dalam Rukunegara yang merupakan idealogi nasional telah mengkukuhkan lagi kedudukan raja-raja di Malaysia. Di samping itu, satu pindaan telah ditubuhkan iaitu Akta Hasutan 1948.

Akta Hasutan 1948 ditubuhkan untuk melarang soalan mengenai hak, taraf kedudukan, hak istimewa, kedaulatan raja yang dilindungi oleh perlembagaan ke atas bahasa kebangsaan, kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu dan kuasa pemerintahan raja-raja.

Kedudukan hak istimewa orang Melayu bukanlah merupakan sesuatu yang baru.
Perkara ini ialah merupakan perkara utama yang diperjuangkan oleh golongan orang Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Perkara ini telah dimaktubkan di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Ia bertujuan untuk menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan mempertingkatkan kemajuan orang Melayu yang telah ketinggalan dalam semua bidang kehidupan supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju. Ini dapat mendekatkan jurang perbezaan di antara kaum terutamanya kaum Cina dengan kaum Melayu yang terpisah sejak kedatangan British di Tanah Melayu.

Di dalam perlembagaan juga, terdapat satu perkara yang disebutkan iaitu hak asasi. Setiap warganegara yang sah, akan mendapat jaminan dan perlindungan dari kerajaan. Dalam perlembagaan mengenai hak asasi, terdapat dua jenis iaitu hak ramai dan hak individu. Contohnya dalam Perkara 10, disebut, memberi hak bebas bercakap merupakan hak individu manakala dalam Perkara 10(2), disebut, Parlimen diberi kuasa untuk mengawal hak tersebut merupakan hak ramai. Rasionalnya ialah hak bebas bercakap itu mungkin akan menjejaskan keselamatan orang ramai. Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan di Malaysia. Badan ini bertujuan untuk mempromosikan dan memberikan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.

Sebuah akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara telah
diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia merupakan langkah yang terbaik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia. Kesalahan seperti menggugat keselamatan dan ketenteraman Negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan di bawah akta ini. Namun begitu, penahanan tersebut tidak boleh dilakukan secara sesuka hati. Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum penahanan itu disahkan. Di antara syarat-syarat tersebut ialah:

Seseorang yang ditahan hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditahan dan berhak mengemukakan hujah-hujah menentang penahanannya itu dengan mengemukakan kenyataan melainkan kenyataan itu dianggap membahayakan kepentingan negara.

Seseorang warganegara tidak boleh ditahan lebih dari 3 bulan melainkan penahanannya telah disyorkan oleh Yang Di-Pertuan Agong oleh satu badan penasihat. Badan penasihat itu akan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh warganegara yang ditahan itu sebelum mensyorkannya.

Badan tersebut haruslah terdiri daripada seorang pengerusi dan 2 orang ahli biasa. Pengerusi itu haruslah layak iaitu merupakan hakim dan perlantikan ahli badan itu dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong. Perbicaraan bagi pesalah ini berlainan kerana perbicaraan adalah jenis tertutup.

Kepentingan Kontrak Sosial

Globalisasi, revolusi teknologi maklumat dan komunikasi serta daya tarikan demokrasi turut menjadikan usaha mengendalikan masyarakat pelbagai budaya lebih rumit dalam beberapa hal. Apatah lagi dalam menguruskan masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, kumpulan etnik dan agama adalah satu tugas yang amat rumit, terutamanya jika asas kepada masyarakat ini masih belum kukuh.

Ada pihak yang mendapat gambaran bukanlah sesuatu masalah jika sebuah negara itu menjadi kacau-bilau, jika keamanan terpaksa memberi jalan kepada keganasan dan jika ekonomi hancur semata-mata untuk memperjuangkan jenama demokrasi. Apabila ini terjadi di negara-negara yang mempunyai masyarakat majmuk, ia sering mengakibatkan perpecahan negara atau kekacauan yang tidak mampu dipertahankan. Malangnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.

Perpecahan adalah satu musibah. Tidak ada masyarakat yang menyanggupi musibah perpecahan secara idealnya. Dalam Islam, perpecahan amat dilarang. Islam mempunyai mekanisma yang amat efektif secara teori dan praktikalnya dalam menghalang mahupun memulihkan semula masyarakat yang berantakan dan
berpecah.

Perpecahan dalam masyarakat boleh disebabkan oleh berbagai faktor dan alasan. Jika sesuatu sistem masyarakat yang berjalan tiba-tiba didatangi pula pendekatan baru, maka pasti timbul pertentangan pendapat. Masalah sebeginilah yang sering membibitkan perpecahan. Seringkali pendekatan baru itu yang terbaik, tetapi mengundang perpecahan mayarakat kerana kejahilan atau sikap tak ambil kisah yang dijiwai turun temurun.

Malaysia adalah wadah penyatu kumpulan etnik yang sebenar dimana adalah rumah bagi agama-agama terbesar seperti Islam, Buddha, Kristian dan Hindu. Malaysia juga adalah negara campuran dan pusat pertemuan budayabudaya penting Asia-Melayu, Cina dan India. Ada juga yang melihat Malaysia sebagai `suatu mikrokosmos Asia', `Asia sebenar-benar Asia' dan sebagainya.

Tugas yang paling penting ialah untuk mencapai kesepakatan di kalangan semua kaum tentang rupa bangsa dalam mana kita mahu hidup serta hak dan kewajipan masing-masing yang terkandung di dalam perlembagaan. Inilah Kontrak Sosial kita yang diikrar dalam sebuah perlembagaan yang punya kuat kuasa undang-undang. Suatu kontrak yang dibina atas semangat tolak-ansur. Terdapat komitmen sedar untuk berkongsi kuasa di kalangan semua kumpulan dan antara sebuah pusat persekutuan dengan negeri-negeri.

Menurut ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu memberikan ucaptama dalam majlis perasmian Sidang Kemuncak Media Asia di Hotel Nikko Kuala Lumpur pada 19/04/2004 menyedarkan bahawa Kontrak Sosial itu adalah teras perpaduan Malaysia selama ini. Beliau juga berkata aspek paling penting dalam Kontrak Sosial itu ialah persetujuan oleh rakyat pribumi memberikan kerakyatan kepada kaum pendatang Cina dan India. Ini mengubah rupa bangsa ini dari sebuah negara yang asalnya dimiliki penduduk pribumi kepada sebuah negara yang orang Cina dan India boleh sebut sebagai negara mereka. Kaum Cina dan India kini berkongsi kuasa politik dengan kaum Melayu, dan menganggotai Kabinet Pusat dan majlis eksekutif negeri.

Sebagai balasan, kaum pendatang ini bersetuju tentang hak istimewa ekonomi bagi penduduk pribumi dengan mengambil kira kedudukan mereka yang tidak begitu baik. Ini telah membentuk asas moral, undang-undang, ekonomi dan politik bagi pengagihan polisi-polisi keadilan di negara ini. Inilah dasar-dasar yang kadangkala dikritik kononnya sebagai diskriminasi oleh mereka yang jahil mengenai persetujuan yang dicapai oleh semua pihak dan persekitaran yang mendorong kewujudannya.

Kaum-kaum utama ini turut diberi hak pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi. Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan, kaum Cina dan India diberi kebenaran untuk mengadakan pendidikan rendah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Hanya segelintir negara di dunia ini yang mengizinkan kebebasan seumpama ini.

Begitu juga, terdapat kebebasan beragama, semua kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, bagaimanapun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara. Deklarasi Malaysia sebuah negara Islam yang dibuat oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2001 menimbulkan beberapa implikasi dalam kehidupan Muslim.

Muslim berhak menuntut pemerintah melaksanakan Islam sepenuhnya kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pemerintah Islam.

Membina sikap positif dan membuat kritikan yang membina untuk kepentingan Islam, serta berpatisipasi dalam memenuhi tuntutan Islam dimana saja ada kekurangan.

Muslim dapat hidup dengan harmoni dan dapat berusaha meningkatkan produktiviti untuk kepentingan Islam, kerana terdapat sikap baik sangka antara satu dengan yang lain.

Setiap individu Muslim merasa berkewajipan untuk membangun negara
             dan umatnya dalam keupayaan masing-masing.


Menimbulkan tanggungjawab yang lebih kepada Muslim untuk
             melaksanakan Islam di mana saja dia berada, kerana tidak dirasakan ada
             sesuatu yang bercanggah yang patut dielakkan dalam kehidupannya.


 Mengapa Kontrak Sosial Ke Arah  Kewujudkan Perlembagaan Pesekutuan?

- Untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik.

- Dapat menentukan rangka, bentuk pemerintahan dan kuasa untuk
  menerajui kerajaan, menjamin pentadbiran yang cekap, jujur dan adil.

- Dapat menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.

- Dapat menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti
  kebebasan diri, kebebasan bercakap, memiliki harta dan beragama.

- Dapat menentukan batasan untuk menjaga keselamatan, kemakmuran
   rakyat dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.

- Dapat memupuk unsur taat setia kepada Negara.

- Dapat memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum, hak kebebasan
  asasi manusia dihadkan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan dan
  pergaduhan antara kaum. Parlimen telah meluluskan pindaan Akta
  Hasutan (1970), yang menghadkan kebebasan bercakap bagi mengelakkan
  berlakunya kejadian yang tidak diingini.

- Supaya hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan
  Sarawak tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dipersetujui dalam
  Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

- Untuk mewujudkan integrasi nasional bagi mempercepatkan lagi proses
  pembentukan negara dan bangsa yang bersatu dan berdaulat.

- Untuk menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu.


Sejarah Kontrak Sosial

Kontrak Sosial telah lama mekar di dalam masyarakat. Tiga orang ahli falsafah
yang banyak menghidupkan dan mewarnai teori Kontrak Sosial dalam sains politik moden Barat, ketika zaman pencerahan dan Revolusi Industri adalah Thomas Hobbes
[Leviathan, 1651M], dikuti oleh John Locke [TwoTreaties of Goverment, 1690M] dan Jean Jacques Rousseau [Du Contrat Social 1762M]. Karya Rousseau, Du Contrat
Social, dikatakan amat berpengaruh dalam mencetuskan Revolusi Perancis 1789.

Dalam konteks Islam, Kontrak Sosial dikenali sebagai Piagam Umat. Begitulah para sahabat yang mulia telah melepaskan segala ikatan yang ada pada mereka hanya semata-mata untuk mengikat diri mereka dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka meninggalkan ikatan sejarah mereka dan mengikat diri dengan ikatan Islam. Setelah Rasulullah S.A.W hijrah ke Madinah, maka baginda terus menggubal piagam yang dinamakan Sahifah Al-Madinah (Piagam Madinah) sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara baru, yakni Daulah Islamiyyah. Sahifah yang menjadi dokumen asas negara ini digubal berdasarkan wahyu semata-mata. Antara kandungan yang jelas adalah unsur pembentukan Negara, hubungan antara orang Islam dan kafir serta hubungan luar negara. Yang paling penting sekali adalah jika wujud sebarang persengketaan, hendaklah ia dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. Merujuk kepada hubungan antara kaum. Hak setiap kaum masih dipelihara sebagai usaha mewujudkan Negara Madinah yang harmoni.


Isu Di sebalik Kontrak Sosial.

Kontrak sosial lahir daripada persetujuan antara kaum di negara ini untuk membuat satu persetujuan dimana hak-hak masyarakat bumi Melayu juga dapat dipelihara dan dipupuk bersama-sama dengan kaum lain. Kontrak sosial memainkan peranan yang penting bagi memastikan agar semua kaum mendapat hak masing-masing seperti bahasa ibunda masing-masing dipraktikkan, hak ekonomi, hak politik dan hak pendidikan kerana asas pembentukan negara berpaksikan kepada Kontrak Sosial seperti bahasa kebangsaan sebagai penyatu kaum-kaum di negara ini, hak-hak istimewa Melayu dan juga hak-hak politik, ekonomi dan sosial kaum bukan bumi dijamin oleh perlembagaan Kontrak Sosial ini diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Malangnya Kontrak Sosial ini kini semakin dilupakan oleh kaum-kaum bukan Melayu dan segelintir Melayu. Akibatnya, secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit kedudukan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya dikompromikan. Maka timbul pula ancaman-ancaman seperti yang berikut di negara ini.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, YB Lim Kit Siang ternyata terus menghangatkan perbahasan di parlimen dengan komentar terbarunya mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Agak aneh sebenarnya memandangkan YB Lim sudah menjadi ahli parlimen semenjak tahun 1969.Tidak rasional baginya untuk membangkitkan perkara ini pada masa ini.

Hujah YB Lim jelas sekali, Malaysia tidak boleh dianggap negara Islam berdasarkan perlembagaan yang menyatakan Malaysia sebuah negara sekular di samping Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh semua kaum. Persoalan yang timbul adalah samada deklarasi Malaysia sebuah negara Islam yang dibuat oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2001 melanggar Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

YB Lim perlu menyedari bahawa semenjak deklarasi negara Islam oleh Tun Dr. Mahathir, adakah hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia akan terjejas? Harus diingat, OIC merupakan sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan khas oleh negara-negara Islam untuk negara-negara Islam.

Pembentukan negara Islam adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ia termasuk dalam perkara tuntutan Fardu Kifayah. Kepentingan tentang pembentukan Negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syari’ah, kerana syari’ah tidak dapat dilaksanakan tanpa negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syari‘ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib.

Negara Islam bukanlah autokratik dan tidak menjadikan ketuanya berkuasa penuh sehingga membolehkannya membuat sesuka hati terhadap nyawa dan harta benda orang. Sesebuah negara Islam bebas daripada dispotisme. Ia adalah negara berperlembagaan tetapi bukan dalam erti kata moden iaitu perlembagaan yang ditafsirkan oleh Parlimen atau badan-badan perwakilan awam.

Berdasarkan kepada pandangan Muhamad Abu Zahrah yang meletakkan ciri negara Islam berasaskan kepada majoriti penduduk Muslim dan keamanan, maka Malaysia juga merupakan sebuah negara Islam bukan sahaja dilihat di segi pendudukan majoriti Muslim dan keamanan, tetapi juga dilihat daripada pengalaman sejarah, kedudukan undang-undangnya serta pemimpin Negara Muslim.

YB Lim turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Malaysia mesti dipilih dari kalangan orang Islam. Secara rasionalnya, sekiranya BN menang pilihanraya umum, dan memilih untuk melantik YB Karpal Singh sebagai Perdana Menteri, tidak ada seorang Islam pun boleh mempertikaikan hak itu kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan langsung bahawa Perdana Menteri perlu dilantik dari kalangan orang Islam.


Seterusnya, ancaman daripada Suqiu. Suqiu adalah singkatan nama bagi Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia. Rayuan pilihanraya tersebut telah dikemukakan secara rasminya pada 16 Ogos 1999 sebelum pilihanraya umum ke sepuluh, 29 November 1999. Terdapat 17 perkara rayuan yang dikemukakan oleh Suqiu. Rayuan tersebut telah dianjurkan pada asalnya oleh 11 pertubuhan nasional Cina di Malaysia.

Fakta di atas menunjukkan Rayuan Suqiu itu penting diberi perhatian yang adil kerana ia telah mendapat sokongan luas masyarakat Cina di Malaysia. Jawatankuasa Suqiu menggunakan perkataan rayuan, bukannya tuntutan dalam dokumen Rayuan 17 perkara itu. Mukadimah itu mengiktiraf bahawa selepas 42 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia telah berkembang maju dalam semua sektor. Kemajuan itu adalah hasil daripada usaha dan sumbangan rakyat semua kaum. Walau bagaimanapun, beberapa dasar kerajaan yang tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan kesamaan bangsa, demokrasi, hak asasi manusia, autonomi kehakiman dan sebagainya perlu diperbaiki. Tidak ada yang bahaya dalam pernyataan tersebut yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam atau memecah belahkan rakyat.

Namun, hak keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak boleh dipertikaikan kerana hal ini sudah termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan orang Melayu. Oleh itu apabila seseorang mempersoalkan atau mempertikaikan hak keistimewaan tersebut perlu mempunyai sebab-sebab yang kukuh.
Perkara mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini sebenarnya amat sensitif, sebab itu hal ini tidak perlu dibangkitkan. Harus diingat, bahawa apabila seseorang itu cuba mempertikaikan hak keistimewaan yang telah termaktub dalam perlembagaan itu, bermakna dia cuba mewujudkan provokasi atau perbuatan yang boleh menyebabkan orang lain berasa marah, khususnya orang Melayu.


Di samping itu, terdapat orang Melayu sendiri yang menyokong hasrat menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Tindakan mereka ini adalah kerana yang pertama, kebanyakannya mendapat pendidikan dari luar negara sejak dari kecil hingga ke alam dewasa. Kedua, kerana mereka mempunyai hubungan yang cukup luas dengan negara luar. Ketiga, kerana mereka ini kebanyakannya terdiri daripada orang-orang yang dikateorikan sebagai golongan elit Melayu dan jarang berhubung dengan masyarakat bawahan. Oleh itu, semangat kemelayuan mereka kurang.

Ada juga yang berpendapat bahawa hak keistimewaan ini (peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Malaysia) adalah tidak adil terhadap orang-orang bukan Melayu. Kontrak Sosial ini hanya memberi kebaikan kepada kaum Melayu dan Bumiputera sahaja. Mengapa orang Melayu sahaja dibantu dengan mengetepikan kaum lain? Adakah ini satu bentuk nepotisme? Adakah ini sejajar dengan hak asasi manusia? Menurut mereka kontrak sosial ini ditandatangani oleh datuk nenek mereka. Mengapa pula hidup mereka ditentukan oleh perbuatan datuk nenek mereka.

Ini menunjukkan ramai di antara kita masih jahil tentang sejarah dan tidak mempunyai pengetahuan sejarah yang betul sehingga lupa asal-usul diri dan negeri masing-masing. Dalam hubungan ini mungkin ada manfaatnya untuk mengingatkan satu petikan ucapan seorang pendeta Kristian Amerika, Joseph Anderson (1836-1916) yang pernah berkata, “Tidak ada yang lebih memperteguh dan memperkasa sesebuah negara selain pembacaan (pemahaman dan penghayatan) sejarahnya, sama ada sejarah itu termaktub dalam buku-buku, terpahat di tugu-tugu peringatan atau terangkum dalam adat istiadat dan institusi”.


Selain itu, walaupun Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di semua peringkat pentadbiran Kerajaan, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam, namun kini, penggunaannya dalam pelbagai majlis rasmi negara, mesyuarat, pekeliling, di tempat awam dan dalam bidang penyiaran telah diremehkan. Malah ada pemimpin Kerajaan sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kedudukan bahasa rasmi. Dan semakin banyak pula stesen radio dan televisyen yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan. TV1 sendiri telah berubah citra apabila tidak lagi menjadi saluran kebangsaan. Tegasnya, perisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara hanya layak mengumpul debu sejarah dan tidak lagi dipedulikan.

Di samping itu, Bahasa Melayu telah terbukti berjaya menjadi bahasa ilmu, sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan negara. Generasi demi generasi telah lahir dari sistem pendidikan kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Malangnya, kini kita sendiri sedang merungkai suatu sistem yang telah terbukti kejayaannya. Kini 80% mata pelajaran di sekolah dan sejumlah besar kuliah di institusi pengajian tinggi akan diajar di dalam bahasa Inggeris, bermula dengan pengajaran subjek-subjek dalam bidang sains dan matematik. Kesan langsung dari usaha meminggirkan peranan Bahasa Melayu ini ialah terjejasnya kewibawaan Bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Lebih parah lagi, pelajar-pelajar di sekolah-sekolah luar bandar turut dimangsakan oleh perubahan sistem secara mengejut ini.

Oleh itu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran, penyiaran dan di tempat awam tidak dikompromikan atas apa jua alasan. Penegasan semula penguatkuasaan Bahasa Melayu dalam sektor-sektor utama negara wajar dilaksanakan segera. Tambahan pula, usaha mempertingkatkan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan di negara ini dikekalkan dan masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar diatasi dengan kaedah yang lebih tepat dan wajar.




Keistimewaan Kontrak Sosial

Tentang hak asasi tetap ada, hak bersekolah bahasa ibunda, berbudaya sendiri, berbahasa sendiri, beribadat, berpakaian sendiri, berhiburan sendiri dan apa sahaja seperti makan pakai cara sendiri

Dapat hidup secara aman dan selesa, bebas bergerak ke sana ke mari, tiada pergaduhan antara kaum, tiada kekacauan di tengah-tengah jalan, boleh merayakan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Gawai, boleh pergi ke universiti, boleh melancong ke India, China, Hong Kong atau Taiwan, boleh menjadi menteri, wakil rakyat, hakim, askar, dan setiap individu boleh tidak kira Melayu atau Cina dan India.

Perlembagaan di Malaysia

Perlembagaan yang diperkenalkan oleh British sebenarnya telahpun diperkenalkan melalui Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian Pangkor menyebabkan British mula berkuasa menentukan undang-undang mengikut kehendaknya tanpa melibatkan Sultan dan Pembesar Melayu. Sultan dan Pembesar Melayu hanya berhak di dalam hal-hal keagamaan dan adat istiadat Melayu

Pada 27 mei 1961 Tunku Abdul Rahman berhasrat untuk membentuk Malaysia dan disambut baik oleh British kerana ia akan menjadikan hal ini lebih mudah bagi British menguasai Malaysia dengan badan Komenwelnya. Kemudian satu Jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Lord Cabbold untuk menyiasat kehendak penduduk Sabah dan Sarawak yang selesai pada Februari 1962 dan laporan penuh pada 21 Jun 1962 . Bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu satu undang-undang digelar Akta Malaysia telah diluluskan pada 26 ogos 1963 untuk menyesuaikan konsep dan stuktur penubuhan Malaysia. Malaysia terbentuk pada 16 September 1963.
Setelah sekian lama maka kerajaan Malaysia memudahkan tugasnya dengan mengubah dan membuat beberapa pindaan sehinggalah terbentuk Perlembagaan Malaysia yang memasukkan Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan ini. Dan Sehingga sekarang Perlembagaan Malaysia ini mengandungi:
1)  Ketinggian Perlembagaan Persekutuan
2)  Yang Dipertuan Agung
3)  Raja dan Yang Dipertua Negeri
4)  Jemaah Menteri
5)  Parlimen
6)  Pilihan raya
7)  Kehakiman
8)  Perkhidmatan awam
9)  Negeri-negeri
10) Perhubungan persekutuan dan negeri
11) Peruntukan kewangan
12) Kebebasan asasi
13) Perbuatan surbertif, kuasa darurat dan tahanan pencegahan
14) Agama Islam
15) Kewarganegaraan
16) Orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak
17) Bahasa kebangsaan
18) Ibukota persekutuan
19) Pindaan perlembagaan


Sinopsis Kontrak Sosial

 Ini adalah mengenai perlembagaan Malaysia sebagai suatu ‘Kontrak Sosial’ yang menstrukturkan sistem sosial Malaysia di negara yang bersifat majmuk, dimana Kontrak Sosial merupakan satu persemuafakatan dan perkongsian murni antara kaum di Malaysia. Penggubalan Perlembagaan merupakan satu proses rundingan kontrak sosial di mana umat Melayu bersedia melepaskan sebahagian dari hak-hak mereka manakala kaum-kaum bukan Melayu berjanji menerima syarat-syarat agar disahkan menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Hak keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-Raja Melayu, Agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta taraf kerakyatan melalui Prinsip ‘Jus Soli’ merupakan sebahagian daripada kandungan dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui. Malangnya kontrak sosial ini kini semakin dilupakan oleh kaum-kaum bukan Melayu dan segelintir umat Melayu. Akibatnya, secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit kedudukan umat Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya dikompromikan.

Sendiri mau ingat......


Petikan dari kata-kata Professor Ungku Aziz.....

Menjelang Kemerdekaan.....

PAS ditubuh kerana Umno tolak usaha kemerdekaan

Oleh Mohd Fadhli Ghani :

Kelahiran PAS dikatakan mempunyai kaitan dengan perjuangan ulama mempertahankan kemerdekaan tanah air dan menuntut kemerdekaan semenjak 1511. Kemuncak pergerakan ulama ini akhirnya membawa kepada penubuhan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Selepas parti Islam ini dilumpuhkan oleh British melalui Ordinan Darurat 1948, sebahagian ulama Hizbul Muslimin menyertai Bahagian Agama Umno.

Menyedari sikap Umno yang terlalu menjaga kepentingan British, tidak peka terhadap aqidah umat Islam, mengamalkan perkara yang diharamkan seperti judi, fun fair dan kaberet serta keengganan Umno memperjuangkan kemerdekaan, maka para ulama mendesak diadakan Persidangan Ulama Se-Malaya di Muar pada Februari 1950.

Selepas persidangan ulama anjuran Umno ini, para ulama bersidang kali kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 dan menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya. Ketika Persatuan Ulama Se-Malaya bersidang tanpa pengaruh Umno di Butterworth pada 24 November 1951, nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS.

Lumpuhnya Hizbul Muslimin

Penubuhan PAS yang berlaku pada 23 Ogos 1951 di dalam persidangan ulama yang dianjurkan oleh Umno bukanlah suatu yang aneh.

Pertama, kerana para ulama yang sekian lama berjuang untuk menegakkan kemerdekaan terpaksa memasuki Bahagian Agama Umno sebagai satu-satunya wasilah untuk mereka bergerak selepas lumpuhnya Hizbul Muslimin pada Julai 1948.

Kedua, para ulama telah lama memperkatakan keperluan mereka mempunyai organisasi sendiri yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak termasuk Umno dan hal ini diluahkan oleh Haji Ahmad Fuad melalui tulisannya, “Ulama belum bersatu dan tidak punya persatuan” .

Ketiga, Umno sendiri sengaja membenarkan ulama menubuhkan persatuan yang menjadi sayap Umno sebagai salah satu strategi politiknya, khususnya untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno.

Maka para ulama yang mempunyai kesedaran terhadap perjuangan kemerdekaan ini telah menggunakan peluang yang dibuka oleh Umno untuk membolehkan mereka menubuhkan persatuan mereka sendiri. Benar kata Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, “PAS tidak ditubuhkan oleh Umno, tetapi oleh ahli PAS yang berada dalam Umno!”

Tujuan penubuhan PAS ketika ia ditubuhkan langsung tidak menyebut soal merdeka. PAS menggariskan empat tujuannya iaitu:

i) mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntuan-tuntutan agama Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

ii) menumpukan segala ikhtiar dan tenaga bagi menyatukan perlembagaan pentadbiran agama seluruh Malaya.

iii) memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam; dan

iv) bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan.

Kerana itu, para pengkaji membuat kesimpulan PAS bukanlah sebuah parti politik asalnya, tetapi hanyalah sayap ulama Umno iaitu sebuah pertubuhan kebajikan Islam.

Walaupun persoalan menuntut kemerdekaan tidak disebut dalam tujuan PAS, bukan bermakna para ulama yang bergerak dalam PAS tidak mempunyai cita-cita kemerdekaan, bahkan mereka lebih sedar tentang keperluan kemerdekaan tersebut.

Hubungan Umno dengan British

Para ulama sengaja meniadakan perkataan ‘merdeka’ itu kerana Umno sendiri ketika itu masih menolak merdeka. Umno semenjak ditubuhkan pada 1946 tidak pernah membicarakan soal merdeka, sebaliknya Dato’ Onn Jaafar sebagai Ahli Dalam Negeri dalam kabinet Sistem Ahli amat menjaga hubungan Umno dengan British.

Menurut Tan Sri A Samad Idris, Pemuda Umno Kuala Pilah yang dipengaruhi oleh Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah mengusulkan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukar kepada “Merdeka” dalam persidangan Pemuda Umno pada 1951. Walaupun ia diterima oleh Pemuda Umno, tetapi ditolak oleh Dato’ Onn kerana tidak mahu hubungan Umno dengan British terjejas.

Oleh kerana PAS ditubuhkan oleh persidangan ulama anjuran Umno, berkebetulan pula Haji Ahmad Fuad adalah ‘orang kuat’ Dato’ Onn, maka persoalan kemerdekaan sengaja tidak dibangkitkan dalam menggariskan tujuan penubuhan PAS.

Tujuan tersirat

Adakah ini bermakna PAS ditubuhkan tanpa matlamat merdeka atau apa muslihat sebenar ulama di sebalik penubuhan PAS? Menurut Ustaz Othman Hamzah, salah seorang bekas pemimpin Hizbul Muslimin yang juga pengasas PAS, PAS mempunyai tujuan tersirat ketika ia ditubuhkan.

Pertama,

kerana para ulamak amat bimbang dan kecewa dengan tindakan-tindakan Umno yang menjalankan aktiviti haram seperti judi, fun fair dan kaberet. Ulama yang bersidang di Pokok Sena, Seberang Perai pada awal Ogos 1951 memutuskan bahawa loteri anjuran Umno adalah judi dan haram di sisi Islam. Penubuhan persatuan ulama diharap dapat membendung kegiatan haram ini.

Kedua,

para ulama mempunyai pendirian sekiranya pemimpin Umno terus menolak usaha kemerdekaan dan masih bersekongkol dengan British termasuk menganut fahaman kebangsaan yang terkeluar daripada Islam, maka persatuan ulama ini akan berpisah daripada Umno untuk memperjuangkan sendiri soal kemerdekaan berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Ini menunjukkan bahawa para ulama mempunyai sikap yang berbeza dengan Dato’ Onn dan Umno dalam soal kemerdekaan dan mereka bersedia memisahkan diri daripada Umno jika Umno tidak memperjuangkan kemerdekaan menurut al-Quran dan Sunnah ini.

Salah seorang ulamak yang menjadi pemimpin tertinggi Umno, Ustaz Ahmad Maliki pernah menerangkan kepada Ustaz Othman Hamzah tentang tujuan sulit di sebalik penubuhan PAS iaitu: “sebagai satu pertubuhan kebajikan yang bersatu dalam pertubuhan itu daripada ulama-ulama dan orang-orang Islam rakyat Persekutuan berkedudukan di bawah Umno diharap dapat menasihat dan menekan pucuk pimpinan Umno atau sekurang-kurangnya mengurangkan keleluasaan Umno daripada melakukan amal usahanya yang melanggar batas-batas hukum syarak serta adab susila Islam seumpama menganjurkan loteri, mengadakan fun fair dan sebagainya yang mengotorkan Islam”.

Tujuan tersirat yang kedua: “sebagai badan persediaan bagi gerakan menuntut kemerdekaan jika takdirnya Umno pula diharamkan oleh penjajah Inggeris seperti yang dihadapi oleh PKMM dan Hizbul Muslimin yang berjuang menuntut kemerdekaan…”.

Daripada penjelasan Ustaz Ahmad Maliki ini menampakkan bahawa ulamak mempunyai kebimbangan jika Pemuda Umno yang mula bercakap soal merdeka pada 1951 akan menerima nasib seperti parti yang lain, dan ulama menubuhkan PAS sebagai satu persediaan menghadapi keadaan ini.

Tujuan sebenar penubuhan PAS

Seorang lagi tokoh Hizbul Muslimin yang aktif dalam Bahagian Agama Umno dan menjadi pengasas PAS, Haji Sulaiman Palestin pernah mendedahkan tujuan sebenar PAS ditubuhkan. Menurut Subky Latif yang diberitahu oleh Haji Sulaiman Palestin bahawa PAS ditubuhkan dengan persetujuan Umno kerana bimbang pihak British menggunakan ulama-ulama kerajaan untuk mengeluarkan fatwa mengatakan perjuangan kemerdekaan dan anti-British adalah bertentangan dengan Islam kerana British adalah “ulil amri” .

Umno memerlukan satu badan ulamak yang kuat dan berpengaruh seperti PAS untuk menjawab fatwa itu jika ia berlaku. Hal ini tidak mustahil kerana di India, tokoh-tokoh agama dipergunakan oleh British bagi menyebarkan dakyah bahawa British Raj (pemerintah British di India) adalah Khalifatullah dan ulil amri yang mesti ditaati oleh umat Islam India. Persatuan ulamak India, Jamaat-i-Ulamak Hind telah berperanan menjawab dan menolak fatwa-fatwa sesat ini, sekaligus merangsang umat Islam di India bangkit menuntut kemerdekaan.

Sekali lagi dalam soal ini memperlihatkan bahawa PAS mempunyai matlamat kemerdekaan yang amat jelas dan PAS dijadikan sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan fatwa-fatwa ulama kerajaan yang menyekat perjuangan kemerdekaan.

Ternyata sentimen merdeka yang membara di kalangan ulama dalam PAS tidak dapat dibendung apabila Mesyuarat Agung PAS yang pertama pada 3 Januari 1953 memasukkan “Merdeka” sebagai cogan kata PAS. Pada tahun berikutnya, “Merdeka” dijadikan seruan PAS manakala “Allahu Akbar” dijadikan cogan kata. Setelah PAS memisah dirinya daripada pengaruh Umno pada 1954, PAS telah meletakkan dalam Undang-undang Tubuhnya tentang tujuan PAS untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Pindaan Perlembagaan PAS pada 12-14 Ogos 1954 memasukkan matlamat PAS untuk “menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” di samping “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara”.

Pindaan perlembagaan PAS

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, PAS meminda perlembagaannya dengan memasukkan tujuan PAS antara lain untuk “mengawal, mempertahankan dan memperkukuh kemerdekaan negara” . Kemudian penegasan ini diperkemaskan pada 1971 dengan meletakkan “mendukung dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara” sebagai salah satu tujuan perjuangan PAS.

Daripada perkembangan ini dapat diungkapkan bahawa PAS semenjak ia ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 hingga hari ini bukan sahaja mempunyai matlamat untuk menegakkan kemerdekaan, bahkan berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan ini.

Satu persoalan besar yang dibangkitkan oleh PAS dalam memahami makna kemerdekaan pada sudut pandangan PAS ialah kemerdekaan mesti diisi dengan Islam. PAS membuat pendirian bahawa Islam mesti menjadi asas perjuangan kemerdekaan, segala rundingan kemerdekaan mesti meletakkan Islam sebagai landasan pembinaan negara baru ini dan kemerdekaan tanpa perlaksanaan al-Quran dan Sunnah umpama merdeka separuh masak atau tidak merdeka penuh.

PAS menyifatkan kemerdekaan berasaskan Perlembagaan Reid adalah “berlawanan dengan dasar-dasar isu perjuangan kita (PAS)”. Kerana itu PAS mendesak Suruhanjaya Reid supaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi Tanah Melayu. “On of the implication of the constitutional recognition of the Malay culture and the Malay education is that Islam should be the official religion in this country”.

Kata Dr Burhanuddin, “… belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS”.

Mesyuarat Agung PAS Keenam pada 24-25 Ogos 1957, iaitu enam hari sebelum merdeka membuat pendirian:

“… maka Persidangan ini setelah mempelajari dan meneliti, nyatalah bahawa nilai merdeka 31 Ogos ini masih kosong daripada cita-cita perjuangan PAS. Maka Persidangan ini sebulat suara berazam dan berikrar akan berjuang terus bagi mengisi kemerdekaan …”

Mohd Fadli Ghani ialah pegawai di Jabatan Arkib dan
Perpustakaan Haji Yusof Rawa PAS.


PAS tolak Suruhanjaya Reid, Perikatan sokong

Penulis Khas .

Sekembalinya dari London, Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, singgah di Melaka pada 25 Februari 1956 untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Orang ramai yang berkumpul di padang Bandar Hilir Melaka menyambut pengumuman bersejarah itu dengan laungan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’.

Dalam keasyikan melaungkan kalimah ‘merdeka’ itu, terserlah juga kebimbangan di kalangan orang Melayu tentang nasib yang akan menimpa mereka selepas Tanah Melayu merdeka. Mungkinkah mereka akan mengalami nasib sama seperti orang Palestin?

Melihat kepada tuntutan melampau pertubuhan bukan Melayu menambahkan lagi kebimbangan mereka. Sebagai sebuah parti Melayu, PAS atau Parti Islam se-Tanah Melayu memandang serius terhadap tuntutan melampau kaum bukan Melayu yang kiranya diterima bukan sahaja akan menghakis hak ketuanan Melayu tetapi juga menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pribumi negara ini.

Atas pendirian itu PAS perlu memain peranannya sebagai pembela bangsa dan agama. PAS tidak yakin Umno akan dapat menjaga kepentingan orang Melayu kerana terikat dengan semangat setiakawan Perikatan yang berjuang atas landasan Tanah Melayu untuk orang Malayan.

Lord Reid

Setelah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu, kerajaan British telah melantik Lord Reid, seorang Hakim Besar, sebagai pengerusi Suruhanjaya Bebas bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Butir-butir rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:

1. mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat;

2. menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;

3. perlantikan salah seorang Sultan sebagai Raja Berperlembagaan yang bergelar ‘Yang di Pertuan Besar’;

4. mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain;

5. menyediakan hak kerakyatan yang sama kepada semua penduduk di Tanah Melayu.

Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu telah menerima 131 memorandum daripada badan politik, badan bukan politik dan individu. PAS adalah antara pertubuhan politik yang turut mengemukakan memorandum kepada suruhanjaya itu.

Pada prinsipnya PAS tidak bersetuju dengan cadangan Perikatan mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Asing untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Alasan PAS ialah ahli-ahlinya tidak "tahukan hal Persekutuan Tanah Melayu ini, dan kesulitan-kesulitan politiknya, selain daripada rakyat negeri ini".

PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Pada awalnya Raja-Raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas itu. Salah seorang daripada Raja-Raja Melayu pernah menyuarakan kebimbangan baginda terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Raja-Raja Melayu bimbang Suruhanjaya itu akan mencadangkan Perlembagaan
yang menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu juga bimbang dengan orang Cina bukan kelahiran tempatan.

Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, PAS mengemukakan juga memorandum kepada suruhanjaya itu pada 14 Julai 1956.

Sebagai sebuah parti orang Melayu beragama Islam, PAS memandang serius terhadap tuntutan orang asing yang menuntut hak yang sama seperti orang Melayu. The Pan-Malayan Federation of Chinese Associations sebagai contoh, menolak secara total hak ketuanan Melayu sebaliknya menuntut prinsip Jus Soli dikuatkuasakan. Kebimbangan ini terbayang dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid.

Negeri orang Melayu

Pada pandangan PAS, Tanah Melayu adalah negeri orang-orang Melayu dan hak ini telah diiktiraf oleh perundangan dan disahkan oleh sejarah. Oleh kerana itu peruntukan 5 dalam Butiran Rujukan Suruhanjaya itu hendaklah dilihat dari sudut bahawa negeri ini adalah negeri orang Melayu. Sebarang usaha untuk menindakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang.

Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu sahaja kedudukan dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini. Dan, hak kedaulatan orang Melayu ke atas negeri ini adalah mutlak. PAS tidak bersetuju kiranya pemberian hak keistimewaan dan pelindungan kepada orang Melayu kerana kelemahan mereka dari segi politik dan ekonomi berbanding dengan kaum asing.

PAS mahu suruhanjaya memperakui bahawa negeri ini adalah kepunyaan orang Melayu.

PAS tolak Jus Soli

PAS juga membantah keras tuntutan orang asing untuk menjadi rakyat negeri ini berasaskan prinsip Jus Soli ataupun melonggarkan syarat kerakyatan. Sekiranya tuntutan kaum asing itu diterima serta mengambilkira kekuatannya dari segi ekonomi, pasti ia akan menimbulkan kekacauan dari segi politik.

Di bawah penjajahan British, negeri-negeri Melayu telah dibuka kepada kaum imigran tanpa sekatan. Keadaan ini telah mengakibatkan jumlah pendatang asing meningkat secara mendadak dan melebihi bilangan penduduk orang Melayu. Kaum asing mengambil kesempatan daripada kelemahan orang Melayu untuk membolot kekayaan negeri ini.

Sesungguhnya prinsip Jus Soli hangat dibincang sejak 1946 lagi apabila prinsip ini mula-mula diperkenalkan dalam dasar Malayan Union. Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak prinsip Jus Soli dalam pemberian kerakyatan kepada bangsa imigran. Justeru, prinsip Jus Soli digugurkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu (1948).

Pendirian tegas Raja-Raja dan orang Melayu terhadap isu ini tidak berubah. Pada 1950 prinsip Jus Soli sekali lagi ditolak orang Melayu apabila dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Antara Kaum. Jawatankuasa ini menawarkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi sebagai pertukarannya.

Mahasiswa Melayu di Universiti Malaya di Singapura, dalam memorandum yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu, merayu supaya cadangan itu ditolak. Pada pandangan mahasiswa Melayu itu, cadangan itu kiranya diterima akan menjejaskan kedudukan orang Melayu dari segi jangka panjang.

Atas hujah yang sama PAS menentang prinsip Jus Soli. Oleh kerana Tanah Melayu adalah negeri Melayu, maka PAS mencadangkan struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan keadaan itu. Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

Bersesuaian dengan itu, bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan dan bahasa Melayu juga mesti menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran. Bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa kedua tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja. Penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dipastikan tidak akan menjejas kedudukan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, PAS mencadangkan agama Islam menjadi agama rasmi negara. PAS percaya dan yakin bahawa ajaran Islam mampu untuk memandu kemajuan negara dari segi politik.

Dari segi pemerintahan PAS bersetuju dengan sistem Persekutuan sedia ada. Bagaimanapun PAS mahu pastikan sistem Persekutuan tidak akan menjejaskan maruah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan supaya prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948) dikekalkan tetapi dengan beberapa pindaan, iaitu:

1. Jangkamasa kemastautinan yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.

2. Membantah penggunaan prinsip Jus Soli untuk orang asing.3. Hanya bahasa Melayu sahaja diguna untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan kerakyatan.

PAS juga mencadangkan supaya rupa bangsa di Tanah Melayu adalah rupa bangsa Melayu.

Hak keistimewaan Melayu

Dari segi hak keistimewaan orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang Melayu. Oleh itu hak keistimewaan Melayu sebagai tuan rumah hendaklah diiktiraf dan dihormati serta dipertahankan sampai bila-bila masa.

PAS berikrar akan mempertahan hak orang Melayu sekiranya cuba digugat oleh kaum asing. Bagaimanapun PAS memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati.

PAS juga menegaskan kepada Suruhanjaya Reid supaya memastikan sebarang pindaan ke atas hak keistimewaan orang Melayu, bahasa kebangsaan dan agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-raja Melayu.

Dapat dikatakan bahawa pada umumnya badan politik dan bukan politik Melayu bersetuju dengan pandangan PAS. Antaranya ialah The Malay Forum dan Kongres Pelajaran Melayu. The Malay Forum, dalam memorandumnya pada 6 Ogos 1956, membantah sebarang cadangan untuk menidakkan hak keistimewaan Melayu di tanah airnya sendiri lebih-lebih lagi peruntukan yang melonggarkan syarat-syarat kerakyatan kepada kaum asing.

Kongres Pelajaran Melayu, dalam memorandumnya, kepada Suruhanjaya Reid pada 15 Ogos 1956, juga menuntut Suruhanjaya Reid menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu berasaskan hak keistimewaan orang Melayu dari segi undang-undang.

Umno juga turut mengemukakan cadangannya kepada Suruhanjaya Reid. Tuntutan Umno bagaimanapun dicantumkan bersama dengan tuntutan MCA dan MIC dalam Memorandum Perikatan (The Political Testament of the Alliance).

Penyata Suruhanjaya Reid

Setelah selesai sidang perjumpaannya, anggota suruhanjaya mengadakan mesyuaratnya di Rome. Dalam bulan Februari 1957, suruhanjaya mengeluarkan Penyata Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.

Dalam penyatanya, suruhanjaya menolak cadangan PAS tentang hak ketuanan Melayu dan Islam sebagai asas perlembagaan. Suruhanjaya mencadangkan supaya rakyat Komanwel memiliki dua kerakyatan.

Dengan lain perkataan, seseorang itu boleh menjadi rakyat India dan juga rakyat United Kingdom serta tanah-tanah jajahan lain pada masa yang sama sungguhpun orang itu mengakui taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap negeri yang didiaminya.

Suruhanjaya bagaimanapun bersetuju dengan cadangan supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi. Namun demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi selama sepuluh tahun selepas merdeka, dan tidak lima tahun seperti yang dicadangkan oleh PAS.

Selepas sepuluh tahun, kedudukan bahasa Inggeris akan ditentukan oleh Parlimen. Suruhanjaya juga mencadangkan supaya bahasa Kuo-Yu dan Tamil boleh digunakan dalam Majlis Perundangan Persekutuan dalam tempoh itu.

Dengan itu, tidaklah hairan Penyata Suruhanjaya itu dikritik PAS. PAS menganggap penyata itu sebagai pengkhianatan kepada bangsa Melayu. Ini kerana penyata itu menolak ketuanan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana anggota-anggota Suruhanjaya itu berjiwa penjajah.

Pada 2 Mei 1957 PAS mengadakan mesyuarat agung khas di Kuala Lumpur bagi membahas Penyata Suruhanjaya. Sebuah kertas kerja dibentang oleh Osman Abdullah, Setiausaha Agung PAS. Beliau menganggap Penyata Suruhanjaya itu sebagai aneh kerana di dalam Perlembagaan yang dicadangkan itu tidak ada ketuanan yang diiktirafkan.

Oleh kerana Penyata Suruhanjaya itu dianggap mengkhianati bangsa Melayu, PAS mencadangkan supaya ‘melemparkan penyata itu semua sekali dan digantikan dengan satu cara pentadbiran dan cara perlembagaan yang dibuat oleh rakyat negeri ini dan diredhai oleh mereka...’

Pada pandangan PAS, Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka itu hendaklah mengandungi lima perkara besar, iaitu:

1. Mengaku bahawa bangsa Melayu adalah tuan punya negeri ini.

2. Mengaku bahawa orang Melayulah sebagai Bumiputera negeri ini dan hendaklah mempunyai hak yang istimewa dan bukan pada kulit sahaja.

3. Hendaklah ditegaskan di dalam kerakyatan negeri ini satu syarat yang besar, iaitu tiada seseorang pun boleh menjadi rakyat negeri ini melainkan dibuat syarat dan ikatan bahawa ia benar-benar taat kepada negeri ini.

4. Hendaklah ditegaskan bahawa agama Islam mestilah dijadikan agama rasmi tetapi bukanlah agama Hari Raya, agama Puasa atau agama Pejabat Agama tetapi agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini dan kepada pemerintahan.

5. Hendaklah ditetapkan dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dengan serta merta.

Tuntutan PAS bagaimanapun ditolak British. Setelah beberapa penyesuaian dibuat, rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan yang dikuasai Perikatan Umno-MCA-MIC pada 27 Ogos 1957. Pada 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka.

MENJELANG KEMERDEKAAN III :
Selepas setahun ditubuhkan, PAS gerakkan usaha capai kemerdekaan

Jabatan Arkib PAS

Selepas setahun ditubuhkan, PAS telah mengambil langkah-langkah penting untuk menggerakkan kemerdekaan tanpa menghiraukan Umno yang dikatakan menjadi ‘induk’ kepada PAS.

Sebenarnya Umno sendiri menolak PAS sebagai sebahagian daripada Umno ketika PAS bersidang di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 (rujuk surat Setiausaha Bahagian Umno Kuala Lumpur kepada Jawatankuasa Penaja Persatuan Ulama Semalaya, dalam Umno/KL/38/51, bertarikh 5 November 1951. Surat ini menyebut “Sedangkan Persatuan ini (Persatuan Ulamak Se-Malaya) telah keluar daripada Umno Malaya”).

Cuma ketika perbahasan tentang disiplin ahli PAS, dipersetujukan supaya ahli PAS dibenarkan untuk menganggotai parti lain. Desakan ini berpunca daripada beberapa ulamak yang menjadi Jawatankuasa Agung Umno hendak dilantik sebagai Jawatankuasa Agung PAS, tetapi pada 1954, ahli PAS tidak lagi dibenarkan menjadi ahli parti lain. Kerana itu, tempoh 14 bulan daripada tarikh penubuhannya itu, usaha-usaha untuk memperjuangkan kemerdekaan menjadi isu utama dalam PAS dan diterjemahkan dalam Mesyuarat Agung PAS Pertama pada 3 Januari 1953.

Program Politik PAS

Antara gerakan yang dibuat oleh PAS pada peringkat awal ialah merancang menubuhkan Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera utama untuk menggerakkan usaha-usaha kemerdekaan. Menjelang Mesyuarat Agung Pertamanya, beberapa usul telah dikemukakan kepada PAS berkaitan kemerdekaan antaranya:

1. menubuhkan sayap Pemuda PAS,

2. melantik Jawatankuasa Khas untuk membincangkan rancangan kemerdekaan, dan

3. menggerakkan program politik PAS.

Dewan Pemuda Islam telah ditubuhkan oleh PAS pada 23 April 1952 untuk mengatur pergerakan pemuda Islam diikuti oleh usul penubuhan Dewan Pemuda PAS pada 3 Januari 1953 dengan tujuan “melaksanakan cita-cita merdeka PAS” .

Walau bagaimanapun, cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengatur hubungan dengan badan-badan politik dalam perjuangan kemerdekaan ditolak kerana ia telah disebut dalam Undang-undang Tubuh PAS.

PAS kemudian mempersetujui cadangan Program Politik PAS yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Agung PAS yang mengandungi tujuh rancangan dengan empat daripadanya meletakkan sasaran perjuangan kemerdekaan. Empat program tersebut adalah:

1. Berusaha dengan kuat untuk memperkenalkan kepada rakyat jelata akan kemerdekaan yang tulen serta menanamkan ke dalam jiwa mereka semangat kemerdekaan itu sambil menunjukkan cara-cara mencapainya.

2. Mengatur dengan kemas Dewan Pemuda yang akan bekerja bagi melaksanakan cita-cita merdeka PAS.

3. Berikhtiar menegakkan sebuah negara yang merdeka yang didirikan oleh rakyat daripada rakyat kerana rakyat.

4. Mencadangkan kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Komanwel British. Empat program politik ini cukup jelas menunjukkan bahawa PAS mempunyai rancangan dan bergerak untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Kemerdekaan tulen” yang disebut oleh PAS ialah kemerdekaan yang berasaskan Islam seperti yang ditegaskan oleh Dr Burhanuddin. PAS menolak kemerdekaan tanpa daulat, tetapi kerana menyedari Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bakal merdeka dan masih lemah, maka PAS bersetuju supaya Tanah Melayu merdeka dalam lingkungan Komanwel British.

MENJELANG KEMERDEKAAN IV:
PAS sertai National Conference

Jabatan Arkib PAS

Selepas Umno berpecah dengan kumpulan Dato’ Onn yang membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), gerakan parti pro British menjadi dua kumpulan iaitu Umno dan IMP – kedua-duanya mula bercakap soal merdeka.

Atas sokongan Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald, Dato’ Onn telah mengusahakan penubuhan National Conference iaitu pertubuhan gabungan parti pelbagai kaum bagi memperjuangkan kemerdekaan.

Pada 12 Februari 1952, Sir Malcolm McDonald telah memanggil satu mesyuarat di King’s House, Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan National Conference sebagai sebuah parti gabungan. Antara pemimpin utama yang hadir ialah Dato’ Onn Jaafar daripada IMP, Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), H.S. Lee (MCA Selangor), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P. Narayanan (Malayan Trade Union Cooperation - MTUC). Umno menarik diri daripada pakatan ini.

National Conference juga telah disertai oleh 16 orang kenamaan dari pelbagai kaum termasuk tujuh orang Menteri Besar. Dalam mesyuarat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda telah dilantik sebagai Pengerusi National Conference dan Datuk Nik Ahmad Kamil, Menteri Besar Kelantan sebagai Naib Pengerusi. Mereka berdua dengan dibantu oleh Yong Shook Lin telah diberi tugas merangka perlembagaan National Conference.

Pada akhir Februari 1953, mesyuarat kedua National Conference telah bersetuju membentuk sebuah gabungan parti-parti di bawah National Conference, tetapi tidak disokong oleh Dato’ Onn kerana IMP berpandangan ia tidak menyelesaikan masalah perkauman dan perbezaan pandangan parti-parti anggota akan melemahkan pakatan tersebut.

Akhirnya pada 27 April 1953, National Conference telah ditubuhkan secara rasmi dalam Sidang Meja Bulat National Conference di Dewan Bandaran Kuala Lumpur sebagai sebuah gabungan politik dengan diketuai oleh Datuk Panglima Bukit Gantang. Dato’ Onn tidak memegang apa-apa jawatan. Antara parti yang menyertai National Conference ialah IMP, Malayan Ceylonese Association (MCA), MEA, MIC dan PAS.

Pada 6 Mei 1953, mesyuarat Jawatankuasa National Conference di Kuala Lumpur telah melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference terdiri daripada Datuk Hamzah Abdullah (Menteri Besar Selangor) sebagai Pengerusi, Datuk E.E. Thuraisingam (Presiden Ceylonese) sebagai Timbalan Pengerusi, Yong Shook Ling (Presiden MCA Selangor) sebagai Setiausaha. Mesyuarat tersebut juga merundingkan tentang usaha menarik sokongan parti-parti politik lain terhadap National Conference.

Walaupun Dato’ Onn tidak memegang sebarang jawatan dalam National Conference, beliau mempunyai pengaruh yang kuat terhadap badan itu kerana hubungannya yang rapat dengan Malcolm McDonald. Dato Onn juga berperanan dan berpengalaman sebagai pentadbir khususnya sebagai Ahli Dalam Negeri dan bekas Menteri Besar Johor serta kedudukannya sebagai Setiausaha Agung IMP yang menjadi parti induk kepada MCA, MEA dan MIC.

Tujuh orang Menteri Besar itu juga ialah ahli-ahli IMP. Antara cadangan penting Dato’ Onn yang menjadi tuntutan utama National Conference ialah tarikh pilihan raya pada 1956 dan 90 orang ahli Majlis Undangan Persekutuan dipilih melalui pilihan raya.

Pada 28 Mei 1953, National Conference juga membuat keputusan untuk menolak pilihan raya jika diadakan pada 1954 atas alasan Tanah Melayu belum bersedia, pilihan raya negeri-negeri belum diadakan dan pilihan raya bandaran belum menyeluruh lagi, sebaliknya mencadangkan pilihan raya diadakan pada 1956.

National Conference pada 21 Julai 1953 pula mencadangkan beberapa pindaan terhadap Majlis Undangan Persekutuan termasuk cadangan menambahkan ahli-ahli tidak rasmi, menentukan bilangan ahli bagi mewakili setiap negeri mengikut bilangan penduduk dan mewujudkan jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli.

Ketika cadangan penubuhan National Conference dibuat oleh Sir Malcolm Mc Donald pada Februari 1953, PAS tidak dilibatkan; mungkin kerana PAS adalah parti yang baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengaruh berbanding IMP, Umno, MCA atau MTUC.

Bagaimanapun, beberapa faktor semasa ketika itu telah mendesak National Conference untuk menjemput PAS; antaranya tindakan Umno pimpinan Tunku Abdul Rahman menarik diri daripada National Conference sehingga menyebabkan tidak ada parti Melayu dalam badan itu. Tambahan pula, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan adalah sekutu rapat Dato’ Onn dalam Umno sebelum perpecahan Umno pada 1951.

National Conference juga menghadapi masalah ekoran semua anggota gabungannya adalah parti-parti gabungan IMP sehingga menampakkan seolah-olah IMP dan National Conference adalah dua pertubuhan yang sama tetapi berlainan nama. Lebih-lebih lagi, sokongan pelbagai pihak amat penting bagi National Conference untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka.

PAS sendiri melihat bahawa penglibatan dalam National Conference adalah satu tanggungjawab yang penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan tindakan parti tertentu yang memboikot National Conference adalah kerana salah faham.

Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang menyifatkan penyertaan PAS dalam National Conference bertujuan memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak tergelincir daripada asas tersebut - memperjuangkan Islam dan tidak meminggirkan hak-hak umat Melayu Islam. Beliau juga menegaskan bahawa PAS hanya menuntut kemerdekaan berasaskan kedaulatan Islam dan tidak ada kemerdekaan tanpa mengikut cara Islam.

Kerjasama dengan bukan Islam

Bertolak daripada pelbagai faktor ini, PAS telah menerima jemputan untuk menyertai National Conference daripada Datuk Panglima Bukit Gantang pada 30 Mac 1953.

Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk menyertai National Conference berasaskan beberapa sebab; antaranya untuk menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan bersatu dengan semua pihak untuk menuntut kemerdekaan. Yang lebih penting bagi PAS, penglibatan bersama National Conference boleh membuka jalan kerjasama dengan orang bukan Islam yang dilihat menjadi faktor penentu yang penting terhadap usaha PAS untuk menegakkan negara Islam.

Menurut Safie Ibrahim, penyertaan PAS dalam National Conference turut dipengaruhi oleh hubungan rapat antara Haji Ahmad Fuad dan Dato’ Onn Jaafar. Kerana itulah PAS ditegur supaya ulama tidak menjadi ‘alat penjajah’ atau dengan mudah terpengaruh oleh tujuh orang Menteri Besar yang rata-rata pro-penjajah.

Bagaimanapun, penyertaan PAS dalam National Conference hanyalah semata-mata untuk memenuhi objektif perjuangan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam bagi mengisi kemerdekaan. PAS sekali-kali tidak terikat untuk terus bekerjasama dengan National Conference atau mendukung keputusan badan itu jika ia bercanggah dengan pendirian PAS.

Menurut Haji Ahmad Fuad, sebarang keputusan National Conference tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh menarik diri daripada National Conference jika resolusinya bertentangan dengan dasar perjuangan PAS. Dengan persetujuan PAS menyertai National Conference pada 6 April 1953, ini bermakna PAS adalah satu-satunya parti Melayu yang terlibat dalam pakatan ini. PAS diwakili oleh Yang Dipertua Agungnya, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Mohammad Hanif.

Sepanjang penglibatan PAS dalam National Conference, PAS menyertai empat kali persidangan termasuk Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, selain mesyuarat pada 6 Mei 1953, 28 Mei 1953 dan 21 Jun 1953. PAS tidak menghadiri mesyuarat terakhir bersama National Conference pada 12 Julai 1953 kerana Pejabat Agung PAS dikunjungi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Ekoran penglibatan PAS dalam Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa National Conference. PAS menyertai persidangan pertama National Conference pada 6 Mei 1953 dan telah menerima keputusan persidangan untuk melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference yang dipengerusikan oleh Datuk Hamzah Abdullah.

Persidangan tersebut juga telah membincangkan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menarik lebih banyak pertubuhan politik bagi menganggotai National Conference. Untuk meningkatkan penglibatan PAS terhadap National Conference, Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah merangka satu garis kasar tentang ‘Perlembagaan Malaya’ untuk dibawa ke National Conference pada 28 Mei 1953. Perlembagaan Malaya yang dikemukakan oleh PAS ini mengandungi lima perkara utama iaitu nama perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, corak kerajaan dan kerakyatan.

Dalam persidangan kedua National Conference di Kuala Lumpur pada 28 Mei 1953, PAS telah bersetuju supaya pilihan raya bagi melantik ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan tidak diadakan pada 1954, sebaliknya diadakan pada 1956. Dua sebab utama yang disetujui oleh National Conference untuk menolak pilihan raya pada 1954 iaitu:

i) pilihan raya tidak mungkin dapat dijalankan pada 1954 kerana tidak ada sebarang persediaan yang dibuat; dan

ii) semua negeri masih belum mengadakan pilihan raya bagi Majlis Mesyuarat Negeri dan pilihan raya Majlis Mesyuarat Bandaran juga belum diadakan secara menyeluruh di Tanah Melayu.

PAS juga bersetuju supaya Datuk Thuraisingam mewakili National Conference bagi perundingan dengan Perikatan Umno-MCA untuk menyelaraskan tuntutan pilihan raya ini. Dalam persidangan kedua ini juga, PAS telah mengemukakan cadangan Perlembagaan Malaya untuk dijadikan garis asas bagi pembentukan sebuah negara yang merdeka.

Pada 21 Jun 1953, persidangan ketiga National Conference telah diadakan di Kuala Lumpur yang turut disertai oleh PAS untuk membincangkan secara khusus tentang kedudukan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan ketiga ini telah memutuskan tiga resolusi penting tentang Majlis Undangan Persekutuan iaitu menambahkan bilangan ahli-ahli tidak rasmi dalam Majlis Undangan Persekutuan. Menurut Ramlah Adam, Dato’ Onn telah mencadangkan jumlah ahli tidak rasmi yang dilantik ditambah menjadi 90 orang.

Kedua, diwujudkan jawatan-jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli yang diamalkan bagi membolehkan kerja-kerja pentadbiran dijalankan dengan lebih lancar, selain membuka ruang yang lebih luas kepada penduduk Tanah Melayu terlibat dengan pentadbiran negara.

Ketiga, dicadangkan supaya jumlah ahli-ahli yang mewakili negeri-negeri dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ditentukan mengikut jumlah penduduk yang telah mendapat kerakyatan.

Pengaruh National Conference walau bagaimanapun mulai tergugat pada akhir 1953 ekoran beberapa faktor; antaranya tindakan Perikatan Umno-MCA menubuhkan National Convention pada Ogos 1953, pergeseran MIC dengan IMP semenjak Mei 1953, diikuti oleh penarikan diri PAS daripada National Conference pada September 1953 dan MIC pada Oktober 1953.

Perpecahan yang dialami oleh National Conference ini sangat memberi kesan terhadap peranan badan itu dalam menuntut kemerdekaan negara, khususnya tuntutan untuk mengadakan pilihan raya pada 1956 serta reformasi terhadap Majlis Undangan Persekutuan. Ia turut memberi dampak kepada usaha Dato’ Onn untuk mewujudkan perpaduan antara kaum sama ada menerusi IMP mahupun National Conference.

Pada masa yang sama, National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman telah berjaya meyakinkan British untuk mengadakan pilihan raya pada 1955. Perpecahan National Conference ini juga telah menyebabkan runtuhnya pengaruh IMP sehingga memaksa Dato’ Onn mengisytiharkan penubuhan Parti Negara (PN) dalam mesyuarat terakhir National Conference pada Februari 1954.

MENJELANG KEMERDEKAAN V:
Dr Burhanuddin diiktiraf wira kemerdekaan

Jabatan Arkib PAS

Jawatankuasa Khas National Convention tentang pilihan raya yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1953 dan turut disertai oleh PAS telah merumuskan beberapa cadangan tentang pilihan raya.

Antara cadangan penting dibuat dan disetujui oleh PAS adalah: pertama, “pilihan raya kebangsaan mesti diadakan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Federal yang ditubuhkan menerusi pilihan raya itu hendaklah daripada ahli-ahli yang dipilih”; kedua, “pegawai kerajaan mesti jangan dilarang masuk bertanding dalam pilihan raya ini”; ketiga, “pilihan raya hendaklahlah menggunakan cara undi berdasarkan suara yang terbanyak...”; dan keempat, “pilihan raya Federal mesti diadakan selewat-lewatnya dalam bulan November 1954”.

PAS menolak cadangan jawatankuasa ini berkaitan hak mengundi untuk rakyat berasaskan jus soli seperti orang yang tinggal lebih lima tahun di Tanah Melayu dan rakyat British yang lahir di Singapura yang telah lima tahun tinggal di Tanah Melayu. Pendirian PAS ini telah ditegaskan dalam National Convention pada 11 Oktober 1953.

Pada 1 April 1954, Tunku Abdul Rahman dan TH Tan telah mewakili National Convention ke Pejabat Tanah Jajahan di London untuk berbincang tentang pilihan raya. Sebenarnya, persetujuan untuk mengadakan pilihan raya telah dibuat pada 6 Mei 1953 apabila British dan Raja-raja Melayu bersetuju untuk menggubal undang-undang tentang pilihan raya.

Kemudian pada 15 Julai 1953, Sir McGelivery mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Menyiasat soal pilihan raya. Jawatankuasa ini kemudian mengemukakan syor kepada Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada 23 Jun 1954. Tunku Abdul Rahman mewakili National Convention mendesak supaya pilihan raya diadakan pada 1954, tetapi dipersetujui supaya tidak ada tarikh yang tetap bagi mengadakan pilihan raya ini.

British bersetuju pilihan raya diadakan pada 15 Jun 1955 dengan 52 orang ahli dipilih. Walaupun PAS menolak beberapa aspek yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas tersebut, tetapi PAS menyokong kuat cadangan yang dibawa oleh rombongan Tunku Abdul Rahman untuk menuntut pilihan raya sebagai persediaan kemerdekaan, dan PAS disenaraikan sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini.

Merdeka tulen: PAS beralih dari kanan ke kiri

Peralihan kepemimpinan PAS daripada Haji Ahmad Fuad, seorang penyokong Dato’ Onn kepada Dr Haji Abbas Alias, bekas ahli KMM telah mengubah sikap politik PAS dalam memperjuangkan kemerdekaan. Sebelum ini PAS mengambil langkah-langkah politik yang berbentuk kerjasama dengan British iaitu melalui rundingan. Penyertaan PAS dalam National Conference, National Convention dan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu menunjukkan PAS mengambil sikap bekerjasama atau berunding dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan.

Apabila Dr Haji Abbas Alias mengetuai PAS pada November 1953, PAS mulai memperlihatkan satu sikap yang lebih tegas dalam soal kemerdekaan. PAS tidak lagi bertolak ansur, lebih-lebih lagi apabila beberapa pandangan PAS berkaitan persiapan kemerdekaan ditolak oleh Umno dan National Convention. PAS mengambil sikap untuk tidak lagi bekerjasama dengan British dalam menuntut kemerdekaan yang berasaskan Islam.

Selepas keluar daripada National Conference pimpinan Dato’ Onn pada 26 September 1953, PAS cuba menyampaikan mesej merdekanya melalui National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman, tetapi ternyata gagal. Sikap Umno yang terlalu bertolak ansur dengan bangsa asing sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu Islam. PAS yang keluar daripada National Convention pada 25 Disember 1953 walau bagaimanapun mengambil sikap akan terus membuat kerjasama politik untuk “kemerdekaan Malaya”.

Apabila Tunku Abdul Rahman mula mendesak British untuk diadakan pilihan raya sebagai persiapan kemerdekaan pada 1954, PAS menyokong prinsip pilihan raya ini walaupun membantah beberapa cadangan National Convention berkaitan perkara itu. Bahkan, TH Tan menyenaraikan PAS sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini.

Dalam suasana politik yang semakin hangat itu, PAS pada awal 1955 bertindak menyertai Kongres Pemuda Melayu (KPM), satu kongres yang dikuasai oleh ahli-ahli politik kiri yang sebelum ini bergiat dalam PKMM dan parti-parti Melayu yang lain.

Perubahan pendirian politik PAS dari kanan ke kiri dapat dilihat apabila Mesyuarat Agung PAS pada 12-14 Ogos 1954 bersetuju untuk meminda perlembagaannnya bagi menyekat pimpinan PAS terlibat dengan Umno. PAS bersetuju supaya “pegawai-pegawai Agung PAS hendaklah terdiri daripada orang-orang yang tidak menjadi pegawai atau ahli jawatankuasa di dalam mana-mana parti politik lain”. Ini dengan sendirinya melepaskan PAS daripada pengaruh Umno serta membolehkan PAS bergerak secara bebas dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Kerana pendirian tegas PAS ini, beberapa pemimpin PAS seperti Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Maliki, Haji Abdullah Fahim, Haji Sulaiman Palestin, Haji Hussin Che Dol dan lain-lain memilih kekal bersama Umno dan meninggalkan PAS. Manakala beberapa ahli Umno seperti Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Zabidi Ali, Haji Mansur Hassan JP dan lain-lain kekal bersama PAS. Pendirian PAS pada 1954 ini sangat penting dalam sejarah perjuangan politik kemerdekaan kerana ia menjadi titik peralihan terhadap gerak kerja politik PAS.

Kongres Pemuda Melayu dan Barisan Kebangsaan Melayu

Pada November 1954, Semangat Pemuda Melayu, sebuah pertubuhan pemuda dari Pulau Pinang telah memutuskan untuk mengadakan Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya setelah mendapat pandangan Dr Burhanuddin al-Helmy. Kongres ini kemudian diputuskan untuk diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 8-10 April 1955. Kongres ini pada asasnya telah menghimpunkan semula tokoh-tokoh kiri yang sebelum ini berselerak kerana parti mereka diharamkan oleh penjajah.

Sejumlah 44 buah pertubuhan termasuk Parti Rakyat, PAS, Parti Negara, PMS serta bekas PKMM, API, PETA, GERAM telah menyertai kongres selama tiga hari ini yang dimulai dengan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin politik termasuk Dato’ Onn (Parti Negara), Dr Haji Abbas (PAS), Ishak Haji Mohamed, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain. Umno telah membuat keputusan memulaukan kongres ini kerana “perjuangan Umno dalam saat genting dan mempunyai tanggungan berat”. Mengikut agenda, kongres ini dibuka oleh YTM Raja Muda Selangor. Ketika kongres berlangsung, Dr Burhanuddin al-Helmy telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres.

PAS menyertai kongres ini dengan tujuan mencari satu dasar dan sikap tentang pilihan raya 1955 dengan menyatukan semua unsur politik Melayu kiri yang menolak beberapa asas pilihan raya yang cadangkan oleh Perikatan khususnya tentang hak mengundi jus soli. PAS diwakili oleh Ustaz Hassan Adli, Prof Zulkifli Mohamad dan Ustaz Zabidi Ali.

Kongres ini sebenarnya bertujuan untuk membincangkan bentuk kerajaan dan kedudukan politik orang Melayu dalam menghadapi kemerdekaan. Boleh dikatakan seluruh pertubuhan yang menyertai kongres ini menolak kerakyatan jus soli yang didukung oleh Umno. Firdaus Abdullah (1985) mengatakan “The Kongres Pemuda signified the reemergence of radical nationalist forces, once organized in API and MNP (PKMM)” . Dengan mendukung motto ‘Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu’, kongres ini bersetuju menerima resolusi berikut:

1. Membentuk satu negara Melayu dengan satu bahasa dan satu negeri dipanggil sebagai Melayu.

2. Menentang kehadiran pangkalan tentera asing di Tanah Melayu.

3. Menghantar wakil ke Persidangan Afro-Asia di Bandung.

4. Menolak prinsip kerakyatan jus soli kepada bangsa asing.

5. Mendesak kerajaan menubuhkan satu lembaga mengkaji keadaan ekonomi yang tidak seimbang antara orang Melayu dengan bangsa lain.

6. Mendesak kerajaan memperuntukkan 50 peratus hak melombong bijih timah kepada orang Melayu dan memberi bantuan kepada pekebun kecil kelapa.

7. Mendesak diadakan skim pembangunan tanah bagi memberi tanah kepada orang Melayu.

8. Kerajaan Persekutuan didesak supaya melantik seorang menteri yang bertanggungjawab kepada soal agama Islam.

9. Sebuah badan pengembangan agama Islam patut ditubuhkan bagi tujuan menubuhkan sekolah, seperti yang dibuat oleh pendakyah Kristian yang menubuhkan sekolah Inggeris sebagai satu alat pengembangan agama Kristian dan pendidikan.

10. Segala kewangan sekolah itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.

Asas tuntutan Kongres Pemuda Melayu ialah kemerdekaan segera, kedaulatan Melayu dan hak ketuanan Melayu serta negara Melayu.

Pada akhir kongres ini, Kongres Pemuda Melayu telah bersetuju menubuhkan sebuah badan politik yang dinamakan Barisan Kebangsaan Melayu (BKM) untuk mewakili rakyat Tanah Melayu ke Persidangan Afro-Asia di Bandung pada bulan yang sama.

BKM dipimpin oleh Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, Ishak Haji Mohamed (Naib Pengerusi), Abdul Wahab Majid (Setiausaha), Dato’ Onn (Bendahari), Zulkifli Mohamed, Aminuddin Baki, Ali Haji Ahmad, Harun Aminurrashid dan Hassan Adli sebagai ahli-ahli jawatankuasa.

Dr Burhanuddin kemudian dipilih mewakili BKM ke Persidangan Afro-Asia di Bandung bersama-sama A Samad Ismail (wakil PETIR Singapura) dan Dr Ahmad Rahim (Kesatuan Melayu Singapura). Mereka bertiga bertindak sebagai pemerhati persidangan ini. Walaupun sekadar pemerhati, Dr Burhanuddin berjaya meletakkan nama BKM sebaris dengan pertubuhan lain dari seluruh dunia apabila berita BKM turut disiarkan oleh akhbar-akhbar Indonesia.

Serentak dengan persidangan ini, Dr Burhanuddin telah mengambil kesempatan untuk berhubungan dengan tokoh nasionalis Melayu, Ibrahim Haji Yaakub dan beberapa pertubuhan kemerdekaan Tanah Melayu yang bergerak di Indonesia seperti Liga Kemerdekaan Malaya pimpinan Mohd Mustaza, Kesatuan Malaya Merdeka pimpinan Ibrahim Haji Yaakub dan Perikatan Pemuda Tanah Air Malaya di Seberang Laut pimpinan Rabib Randi.

Menurut laporan Utusan Melayu, Dr Burhanuddin atas nama BKM bersama beberapa pertubuhan di Indonesia telah menubuhkan “Barisan Bersatu” untuk “menghapuskan Undang-undang Darurat di Malaya gunanya untuk mengembalikan keamanan di tanah air dan untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya yang penuh …”.

Dr Burhanuddin juga berkesempatan menemui Presiden Sukarno untuk membincangkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu. Dr Burhanuddin kemudian menyerahkan memorandum kepada Persidangan Afro-Asia untuk mendesak British memerdekakan Tanah Melayu. Memorandum ini mendapat respon daripada Perdana Menteri India, Pandit Nehru. Menurut Dr Burhanuddin:

“Memorandum itu mendesak Persidangan Afro-Asia supaya membuat keputusan menuntut kerajaan British menubuhkan dengan segera satu lembaga untuk memandu kemerdekaan negeri-negeri yang terjajah dengan secepatnya mengikut anggaran dasar demokrasi. Persidangan itu juga diminta menubuhkan satu badan tetap untuk mengawasi sikap-sikap mengikis penjajahan.”

Kepulangan Dr Burhanuddin daripada Indonesia kemudian disambut sebagai wira oleh penduduk Tanah Melayu kerana usaha beliau memperjuangkan kemerdekaan negara. Satu rancangan menyambut Dr Burhanuddin dibuat oleh Kesatuan Melayu Singapura dengan nasihat Ahmad Ibrahim, peguam terkenal di Singapura yang menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS sejak 1953; Zulkifli Mohamed, Ahli Jawatankuasa Politik PAS dan A. Samad Ismail dari Utusan Melayu. Beberapa perhimpunan untuk mendengar laporan Dr Burhanuddin diadakan di Singapura dan Kuala Lumpur. Dr Burhanuddin memberitahu:

“Indonesia sokong kemerdekaan Malaya… parti-parti politik termasuk Masyumi memberikan sokongan moral terhadap perjuangan kemerdekaan Malaya.”

Ternyata penyertaan BKM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin dalam Persidangan Afro-Asia telah menggugat pengaruh Umno sehingga Tunku Abdul Rahman terpaksa menyindir ahli Umno yang menyokong gagasan kemerdekaan Dr Burhanuddin.

“Siapa yang mahu ikut Dr Burhanuddin, sila,” sindir Tunku Abdul Rahman.

FROM MY OWN VIEW : Pemimpin2 dahulu sanggup bergolok bergadai harta  dan keluar masuk penjara demi perjuangan, namun pemimpin skrg baik di pihak kerajaan atau pembangkang, megah kesana kemari menaiki kenderaan besar...... renungkan...

MELAYU.....

                    
Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
......Usman Awang......

Pluralisme Agama Dan Anwar

ونصلى على رسوله الكريم نحمده

Pluralisme Agama Dan Anwar:
Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam
Oleh:
Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhirnya. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.
Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat – dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk saling memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam[2]; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.
Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak, yang mengajarkan tidak ada kebenaran mutlak yang boleh dicapai, dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagian, itu tidak diterima, bahkan ditolak dalam agama Islam. Kalau tidak tidak ada erti kenyataan Qur’an yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq, kebenaran, dan dengan itu kebatilan hilang, kerana kebatilan memang mesti hilang.[3] Agama Islam datang dalam pusingan nubuwwah terakhir dalam sejarah umat manusia, yang selepas daripadanya tidak ada lagi nubuwwah dan kerasulan[4]; dan ia datang sebagai saksi atas sekalian ajaran di dunia, dan nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam datang sebagai saksi atas umat ini[5]. Peranan sebagai saksi atas umat manusia tentang kebenaran tidak mungkin terjadi pada orang yang mempunyai pegangan tentang ‘kebenaran yang pelbagai’ (‘multiple truths’).
Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat[6], mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat[7].
Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’[8] dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya.
Pegangan seperti ini membawa kita kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan dalam kalangan mereka yang terpengaruh dengan aliran ini ialah seperti berikut:
1. Dalam menyebut tentang sikap ekslusif dalam agama yang membawa kepada pertelingkahan, disebut oleh setengah pihak sikap ekslusif itu ada dalam Islam Syiah-Sunni-dan dalam agama Kristian yang ada pecahan-pecahannya.
Dalam Islam wacana Sunni adalah arus perdana, sebagaimana yang ternyata dalam ijma’ selepas daripada Qur’an dan Sunnah; maka manusia perlu menggunakannya sebagai neraca, untuk membezakan apa yang boleh diterima dan apa yang tidak dari segi intelektual dan rohaniah, bukan yang lain, kalau pihak yang bukan Islam, mereka dengan agama mereka, tetapi perlu ada toleransi dan sikap hidup bersama dengan aman, kecuali berlaku pengkhianatan. Tentang menyebut golongan Sufi seolah-olah lain daripada Ahlisunnah itu tidak sepatutnya berlaku, sebab, sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘al-Farqu bainal-Firaq’ antara lainya[9] golongan Sufi adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada Ahlissunnah wal-Jamaah. Dengan itu maka tidak boleh mereka itu dianggap sebagai terpisah daripada epistemologi sunni, bahkan ia intinya.
Perpecahan bukannya boleh dielakkan dengan menerima ‘mazhab John Hick’ tetapi kalau di kalangan Muslimin itu boleh dielakkan bila mereka menerima wacana Ahlissunnah dengan keluasan dan kedalamannya, serta mengamalkan sikap ‘al-din al-nasihah’ ditambah dengan sikap yang tunduk kepada adab ikhtilaf. Dan ini bukan semata-mata ilmu, tetapi melibatkan jiwa yang terbentuk oleh ilmu itu, atau ‘tercelup’ dengannya. Dengan ini kefanatikan melulu dielakkan dan manusia berbeza pendapat tetapi tidak berkonflik. Ini berlaku bila jiwa dan ilmu menjadi matang. Dalam hubungan dengan golongan lain konflik boleh dielakkan bila Manusia beradab dan bertolak ansur sebagaimana Muslimin dan Yahudi serta Kristian hidup dalam zaman yang terbaik di Andalusia zaman Islamnya.
2.Ada di kalangan mereka yang terpengaruh dengan pluralisme menyebut bait-bait Jalaluddin Rumi untuk ‘mengesahkan’ aliran pluralisme agama itu. Antaranya bait yang seperti di bawah:
Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari Seberang Sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan.
Ini boleh difahami sebenarnya bila diingatkan bahawa Rumi adalah seorang Sunni yang berpegang kepada mazhab Hanafi, dan ia taat kepada Syariat. Ia ada menyebut perkara-perkara yang tidak disetujuinya berkenaan dengan musyrikin, Kristian dan Yahudi. Bahkan suatu masa bila ia ditanya berkenaan dengan Jesus sebagai Tuhan ia dengan keheranan bertanya adakah munasabah orang yang kurus sedemikian yang tingginya beberapa meter yang dikejar-kejar orang untuk dibunuh ke sana kemari, ia Tuhan Pencipta sekalian alam? Kalau ia tokoh pluralisme sebagaimana yang disangka oleh mereka yang terpengaruh dengan aliran itu ia tidak demikian.
Adapun baitnya yang menyebut tentang Cahaya dan Lampu itu perlu dilihat dari segi ajarannya sebagai sufi, ini bukan kenyataan tentang falsafahnya, ini bicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, pergi kepada hakikat, tetapi mesti berpegang kepada syariat, bukan meninggalkannya, dan menganggap ‘semua benar’. Ertinya ia berpartisipasi dalam Syariat tetapi merealisasi ‘penyaksian rohaniah’ tentang kebenaran dalam agama. Ia bukannya mengatakan ‘ya’ kepada semua sistem kepercayaan.
Ertinya ia orang yang mencapai ma’rifat kepada Allah sebenarnya dan menyedari hakikat agama yang sebenar, ia bukan semata-mata terbatas kepada mazhab-mazhab seperti dalam Ahlissunnah ada mazhab yang empat itu, tetapi disamping menerima mazhab itu dan beramal dengannya ia mencapai musyahadah secara rohaniah dan ‘menyaksikan’ perkara sebenar agama dengan penyaksian batin sendirinya. Itulah Cahaya itu; ia bukan bererti bahawa pegangannya ialah semua sistem kepercayaan membawa kepada kebenaran dan kepada Syurga.
3. Berkenaan dengan adanya soalan-soalan yang kelihatan ada persamaan antara manusia seperti dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? Jalan kerohanian membawa kita kepada satu pencarian sarwajagat tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan dan sifat keunggulan, ini semua bukan bererti bahawa semua agama membawa kepada ‘salvation’ dalam erti yang diajarkan oleh Qur’an; kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang datang terakhir sebagai ajaran sarwajagat untuk semua manusia (kaffatan linnas). Kalau tidak sejarah anbia dan sejarah nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam tidak ada erti apa-apa.
4. Tentang ada pendapat Dante yang menulis di zamannya dalam Monarchia yang menyatakan bahawa tujuan terakhir hidup ini ada dua – kebahagiaan dalam dunia ini dan juga kebahagiaan dalam akhirat dengan berada dalam limpahan nur melihat Wajah Tuhan. Mencapai dua matlamat agung ini berlaku dengan menghadapi kesukaran yang besar. Kejayaan itu boleh tercapai:
‘hanya bila gelombang-gelombang kerakusan yang menggoda itu ditenangkan dan umat manusia berehat santai dalam ketenangan dan keamananan’
Kenyataan itu benar dari segi jiwa manusia perlu ditundukkan supaya ia menyerah kepada kebenaran dan ia berpegang kepada sifat-sifat unggul, itulah yang membawa kepada kedamaian manusia dan hilangnya konflik. Tetapi ini bukan hujah untuk pluralisme agama dalam erti Hick, yakni bahawa semuanya membawa jalan ke syurga, dan tidak ada sistem kepercayaan yang dimansukhkan kebenarannya bila datang Qur’an. Pada umat Qur’an dengan datangnya Qur’an berlakulah pemansuhan semua sistem kepercayaan, dan ajaran Qur’an adalah sarwajagat. Lagi pula kalau ini difahami sebagai hakikat bahawa manusia menjadi sejahtera bila ia tunduk kepada otoritas ilmu dan akal, maka bukannya ini membawanya ‘bertemu’ dengan Ibn Rushd dan al-Farabi, sebab kedua-duanya tunduk kepada Shariat Muhammad s.a.w. dan Qur’an, tetapi Dante, walaupun selepas Qur’an datang, ia tidak tunduk kepadanya. Ertinya ia bukan berpegang kepada pluarisme agama dalam maman seperti Hick itu.
Bahkan dalam ‘Purgatio’ dalam ‘Divine Comedy’nya Dante meletakkan nabi Muhammad dan Saidina ‘Ali rd dalam neraka.[10] Dijauhkan Allah. La haula wa la quwwata illa billah.
5. Kalaulah dikatakan sekarang keadaannya ialah bahawa kebebasan beragama yang tanpanya tidak ada pluralisme agama, adalah suatu kebebasan yang tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi yang terkenal dan teguh kedudukannya, itu bukan bermakna bahawa di negeri-negeri Islam Muslimin dan kerajaannya tidak boleh memihak kepada Islam. Ini kerana dalam Islam kewajipan kerajaan ialah melaksanakan ajaran Islam sampai sebaik-baiknya dan apa yang menggangu kejayaannya secara tidak patut mesti diselesaikan.
Dalam Islam kerajaan tidak boleh memilih untuk menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kebenaran itu mesti ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran itu. Sebab itu al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memestikan pihak berotoriti Islam memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai bila berlaku penyelewengan daripada ajaran Islam yang benar (kecuali orang yang berkenaan bukan Muslim).[11] Tetapi pihak berkuasa Muslimin tidak boleh menganiaya pihak yang bukan Islam, mereka ini diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.
6. Tentang pendapat yang menyatakan bahawa kebebasan beragama yang terkandung dalam ayat yang bermaksud ‘Tidak ada paksaan dalam agama’(2:256) itu dalam Islam memaksudkan bahawa kita tidak boleh memaksa orang supaya memeluk Islam, itu terletak pada pilihannya; tetapi bila ia sudah Islam ia tertaaluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama ini. Kita tidak menafsirkan kebebasan beragama itu kebebasan untuk murtad bagi orang Islam. Tidak ada pendirian itu dalam sejarah dan ilmu Islam. Kalau hendak disebutkan perbandingan kita tidak memaksa orang untuk menjadi warganegara kita, tetapi bila ia menjadi warganegara ia tertakluk kepada undang-undang negara, ia tidak boleh berontak menentang negara itu. Dan tidak ada ‘pemberontakan’ yang melebihi ‘pemberontakan’ melawan Tuhan. Dijauhkan Allah.
Maka kita tidak seharusnya mengikut falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama bila falsafah itu bercanggah dengan Qur’an, walaupun ianya dianggap sebagai antarabangsa dan sebagainya. Demikian pula dengan soal kebebasan dhamir, freedom of conscience, kita memandangnya dalam konteks ajaran Syara’, kita tidak membuka ruang untuk kebebasan dhamir berjalan bila itu bercanggah dengan akidah dan aturan Syarak. Sangkaan bahawa kebebasan dhamir berjalan tanpa disiplin tidak ada dalam ajaran Islam. Kalau itu ada dalam ajaran lain itu pilihan pihak lain, bukan pilihan umat ini.
7. Berkenaan dengan orang lain yang mempunyai kepercayaan yang selain daripada Islam, kita tidak disuruh memilih untuk ‘menyerang’nya, bahkan kita dilarang ‘memaki’ apa yang menjadi pujaannya selain daripada Allah, walaupun secara yang kelihatan lembut dan berbudi, kalau tidak ia akan memaki Allah pula dalam perseteruan dan kejahilannya[12].
Kita diajarkan untuk menyeru manusia dengan hikmah kebijaksanaan (bukan putar belit), bila pihaknya sesuai digunakan kaedah itu, kemudian dengan nasihat yang baik, dan akhirnya kalau perlu berhujah, sebab pihak yang berkenaan itu degil, berhujah, kita disuruh berhujah dengan ‘cara yang paling cantik’.[13]
Kita hidup dengan aman damai dan tidak mengganggunya, kecuali ia menggangu ketenteraman orang ramai. Dan kita lakukan demikian bukan untuk menjayakan pluralisme agama dalam erti John Hick tetapi dalam erti ‘bagi kamu agama kamu bagiku agamaku’ dalam surah al-Kaafirun, dan dalam erti yang diajarkan dalam Perlembagaan Madinah, sebagaimana yang tercatit dalam ‘Sirah ibn Ishaq’ yang di dalamnya Orang Yahudi mengamalkan agama mereka dan Orang Kristian mengamalkan agama mereka, tetapi mereka adalah ‘ummat yang satu lain daripada manusia lain’ [dalam erti entiti siasah dan bernegara].
8. Adapun berkenaan dengan ayat tentang kejadian manusia berkaum-kaum dan bersuku-suku untuk kenal-mengenali antara satu sama lain (bukan untuk bermusuh), itu memang benar, dan dihujungnya dinyatakan dengan terang dan tegas bahawa yang paling mulia di kalangan manusia ialah mereka yang paling bertaqwa (dalam erti paling menjaga suruhan dan larangan Allah).[14]
Ayat ini tidak boleh digunakan untuk memberi keabsahan kepada teori Hick tentang pluralisme agama dalam erti semuanya membawa kepada ‘salvation’.
9. Tentang adanya kenyataan dalam kitab agama lain yang menyatakan bahawa orang yang mampu melihat bahawa semua jalan membawa kepada Yang Satu, itupun perlu dilihat dalam konteks Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’[15] dalam erti ia menjaga erti-erti asasi dalam ajaran agama dan ‘membenarkan (kebenaran) yang terdahulu daripadanya [dikalangan anbia])’. Jalan yang dimaksudkan itu, kalau dalam Islam ialah jalan-jalan rohani yang sahih dalam ajaran para imam dan benar, bukan ‘jalan pemikiran’ para ‘pemikir’ dalam erti Barat yang tidak mempercayai wahyu dan nubuwwah serta tauhid, apa lagi kalau dalam pascamodenisme.
Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu ialah kebenaran tauhid dalam Islam, maka itu tidak menjadi masalah; tetapi kalau semua sistem kepercayaan difahami membawa kepada Yang Satu yang kabur, itu menjadi masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid bukannya Yang Satu; kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, bukan Yang Satu dalam Qur’an. Pokoknya bergantung kepada kedudukan Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’ yang berupa pengawal kebenaran dalam erti-erti pengajaran agama, sebagaimana yang dihuraikan oleh teks-teks arusperdananya.
10. Tentang pandangan yang mengatakan bahawa apa juga agamanya, sama ada ia itu Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, dipercayai ialah bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata (mere practice) dan ibadat semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, ini juga perlu dilihat dalam rangka Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’. Bila ini diambil sebagai neraca maka yang diambil kira bukan sahaja ‘kebenaran yang satu (secara tauhid yang sebenar)’ tetapi juga bentuk-bentuk amalan yang dilakukan, adakah ianya sesuai dengan ajaran Qur’an atau tidak. Kalau tidak, maka kedudukannya adalah memang demikian. Keringanan boleh berlaku bila itu adalah natijah daripada tidak sampai dakwah secara benar, atau tidak terdedahnya pihak yang berkenaan kepada kebenaran yang sebenar, atau orangnya berada dalam zaman fatrah yang tidak ada rasul yang membawa kebenaran. Ajaran tentang semua ini kekal hingga ke akhir zaman. Tidak ada pemikiran falsafah dan penemuan akademik yang membatalkannya, bagaimana juga cerdik dan pintar orangnya. Selamat dan berbahagialah mereka yang tunduk kepada dan menerima kebenaran serta mengamalkannya, lebih-lebih lagilah merealisasinya dengan tahkiknya. Amin.
11. Tentang pandangan yang menyatakan bahawa ada pemimpin-pemimpin tertentu agama-agama dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi dan tidak sangat menerima perkara-perkara yang sama (commonality) yang menghubungkan manusia semua dalam pelbagai agama, dan bahawa kalaulah diterima dasar persatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama menjadi satu tenaga penyatuan, bukan sebab bagi perpecahan, dan dinyatakan bahawa itu jalannya untuk menarik kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan secara serius.
Pertamanya, kalau dilihat dari segi Islam pengakuan itu dibuat oleh Muslimin daripada pengakuan Tuhan Sendiri yang menyatakan bahawa Islam ini kebenaran sediakala yang ada dalam ajaran semua anbia dalam sejarah manusia, dan kedatangan Islam adalah untuk membenarkan kebenaran yang sediakala itu; kemudian ia datang untuk membuat pembetulan terhadap unsur-unsur yang terubah dalam ajaran agama-agama, dengan itu ia membuat koreksi. Maka Muslimin membuat kenyataan itu atas perintah Tuhan dalam wahyuNya.
Adalah janggal tidak terkira lagi kalau ada orang yang menerima Bible atau sebagainya sebagai ‘wahyu’ tetapi dalam masa yang sama menapikan yang demikian dalam hubungan dengan Qur’an, walhal Qur’an datang dalam suluhan sejarah yang terang benderang (in the full day light of history). Dalam erti ini pengakuan Muslimin adalah pengakuan yang setia dengan agama para anbia, tidak dipengaruhi oleh andaian-andaian (zann yang disebut dalam Qur’an) para pemikir, bagaimana bijak dan pintar mereka itu sekalipun. Maka pengakuan ini mesti dibuat dan dipertahankan; dan teori John Hick tentang pluralisme agama yang menjamin syurga untuk semua tidak memengaruhi Muslimin yang setia dengan wahyu Qur’annya.
Dan keduanya Muslimin terus menerus menegaskan bahawa keadaan damai ialah bila manusia berakhlak mulia dan tidak berkhianat dalam akhlaknya, serta tidak mengamalkan nilai ganda (‘double standard’), untuk diri lain untuk orang lain, lain. Dan manusia boleh aman kalau mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. Sebab itu baginda menunjukkan jalan itu antaranya dalam Perlembagaan Madinah. Tetapi bila pihak yang satu lagi belot, maka berlakulah apa yang telah berlaku itu. Allahumma sallimna wal-Muslimin.
12. Pengamatan yang menyebutkan bagaimana masih ada pula pendapat yang menyebut tentang Muslimin bahawa masih berterusan adanya masalah mereka yang menolak nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, demokrasi, dan kemerdekaan dhamir (freedom of conscience). Mereka memandang budaya pluralisme agama sebagai satu bahagian daripada konspirasi agung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan Muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga adalah jerat bagi menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.
Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan dhamir, itu semua pada Muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada otoritas Syara’; kalau kebebasan bersuara itu sesuai dengan Syara’, tidak membawa kepada yang terlarang, kebebasan dhamir, demikian seterusnya, kalau tidak bercanggah dengan Syara’, bahkan lebih-lebih lagi menjayakan Syara’, maka sudah tentu itu tidak ditentang. Sudah tentu bagi Muslimin Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata; lainlah kalau perkara yang demikian datang daripada mujaddid yang diakui dalam Ahlissunnah. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektuil dan rohanian, dijauhkan Allah. Soalnya bukan menolak seratus peratus dan menerima seratus peratus; apa yang baik diambil apa yang tidak tidak diambil. Pihak yang berbicara tentang kebebasan manusia sejagat perlu menghormat manusia beragama mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata. Itu bercanggah dengan hak asasi manusia.
13. Berhubungan dengan kemungkinan adanya persamaan antara amalan ‘mantra’ dan ‘Lords Prayer’ dan apa juga, maka bagi Muslimin itu perlu dilihat dalam rangka Quran sebagai penjaga atas erti-erti ajaran suci dalam sejarah manusia, tuntutan Syara’ dan ijma’. Kalau ada persamaan itu, maka pada Muslimin asalnya agama-agama dunia terkena pengaruh ajaran anbia, maka masih kelihatan ada peninggalan-peninggalan tentang persamaan itu. Tetapi kebenaran dengan kepenuhan, kedalaman serta kesempurnaannya ada pada wahyu terakhir dalam sejarah umat manusia. Selamatlah mereka yang menerimanya beramal dengannya. Mereka yang lain daripadanya bertanggungjawab atas perbuatan mereka, apa jua alasan-alasan yang dikemukakan untuk mempertahankannya. Dalam bermuamalah dengan para pemeluk sistem kepercayaan lain, Muslimin mesti mengamalkan akhlak yang mulia dan menghormati pihak lain itu, dan jangan sekali-kali menunjukkan penghinaan terhadap pihak lain dengan apa cara sekalipun.
14. Tentang pendapat yang menyebut Syariat bukan tertulis ‘pada batu’ dan ia mengalami evolusi yang dinamis (the Shari’ah was never cast in stone and evolves continuously through this dynamic process), maka kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahlisunnah tidak berubah; ijma’ tidak berubah; akhlak tidak berubah; amalan rohaniah yang diakui tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baharu yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman demi zaman boleh berubah. Kalau ini difahami demikian maka tidak ada masalah. Tetapi kalau itu melibatkan perubahan-perubahan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Kalau itu membawa kepada pendirian bahawa posisi Qur’an terinjak kerana pemikiran orang-orang seperti John Hick dan yang sepertinya, itu tidak dibolehkan.
15. Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.
16. Akhirnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali. Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.